Semakin hari semakin aku rasa perit disengat cahaya.Musim panas seperti tidak sabar-sabar ingin melayurkan manusia. Apa lagi yang memang sedang menanti-nanti saat untuk berjemur. Tidak lama lagi segala bandar akan inflasi, dan pantai pula akan menjadi kaya dihujani pelancong yang ribuan, barangkali bilion.
Akhirnya, matlamat untuk menjajah sebidang kolam renang sudah tercapai, dan aku berjaya memenangi anugerah ikan lumba-lumba terbaik. Dalam masa yang sama juga seorang guru yang telah berjaya melahirkan beberapa orang perenang baru dengan kemahiran dan keistimewaan tersendiri. Ada yang bisa renang dan ada juga yang jaguh selam, dan ada yang masih mencari-cari jalan untuk menyusun gerak-geri kaki serta tangan,tidak ketinggalan juga arah tuju kepala. Mula-mula cergas ke kiri dan ke kanan, akhirnya terbenam juga ke bawah. Tidak apa baharu permulaan.
Aku seperti dirasuk , kulalui hari-hari dengan berjadual. Usai sahaja sarapan, kira-kira jam 9 atau 10 begitu terus bertukar menjadi ikan jadi-jadian sehinggalah sekitar jam 3. Selepas itu naik berehat, memasak, makan dan solat semua. Usai beberapa minit merehatkan segala otot, dan solat asar, terpaksa berubah semula menjadi ikan jadi-jadian sehinggalah sekitar jam 8. Kami juga sempat menjadi kanak-kanak riang bermain sorok-sorok, dan renang-renang (kejar-kejar kalau di darat). Indahnya, terasa juga manis berkawan.
Kini aku berada di rumah teman di kawasan rabat. Perlu berehat seketika sambil-sambil mengorek idea-idea yang tertanam di dalam timbunan. InsyaAllah, Esok aku akan menjadi hidupan laut lagi.